PERUTUSAN PENGERUSI SPP

Selamat Datang ke Portal Rasmi SPP.

Pendidikan sewajarnya dihubungkaitkan dengan pembangunan negara. Adalah menjadi hasrat SPP meletakkan dirinya sebagai sebuah institusi yang terbaik dan sentiasa relevan dengan tuntutan membangunkan sebuah negara maju.

Justeru, selaras dengan fungsi dan peranan kami, SPP komited dan berusaha supaya setiap Anggota Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik adalah berkualiti dan berkomitmen tinggi demi melahirkan rakyat Malaysia yang cemerlang dalam segala bidang.

Kami di SPP sentiasa berusaha untuk menambahbaik perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Melalui portal ini orang ramai khususnya Anggota Perkhidmatan Pendidikan yang menjadi pelanggan utama SPP akan dapat menelusuri maklumat-maklumat penting seperti maklumat pusat-pusat temu duga, panduan am untuk menghadiri temu duga dan faktor-faktor yang dinilai semasa temu duga. Orang ramai juga akan dapat mengenali dengan lebih terperinci fungsi dan peranan SPP.

Mulai tahun 2008, SPP telah diberi kuasa untuk melaksanakan urusan pelantikan Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Bagi tujuan ini, permohonan dibuat secara atas talian sepenuhnya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja menerusi aplikasi Bursa Buruh Elektronik (Electronic Labor Exchange - ELX). Begitu juga halnya bagi Guru Sandaran Terlatih di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang ingin memohon untuk pelantikan tetap jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, permohonan juga boleh dibuat melalui portal ini secara atas talian.

Bagi memenuhi hasrat SPP dan keperluan pelanggan, portal ini akan sentiasa ditambahbaik dan dikemaskini dari semasa ke semasa. Kami berharap agar portal ini dapat dimanfaatkan oleh semua yang melayarinya. Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah dikemukakan melalui ruang maklum balas yang disediakan dan akan diberi perhatian serta diambil tindakan yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Dato' Haji Kusaini Bin Haji Hasbullah

Pengerusi,
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran,
Malaysia.