BAHAGIAN PERKHIDMATAN

Bahagian ini bertanggungjawab untuk memproses semua perakuan urusan perkhidmatan Anggota Perkhidmatan Pendidikan.

  • Objektif
    • Memastikan urusan perkhidmatan dilaksanakan dengan sistematik, berkualiti, dan pro-aktif ke arah memaksimumkan kepuasan pelanggan bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan di Bahagian Perkhidmatan.
  • Piagam Pelanggan
    • Keputusan Pengesahan Dalam Perkhidmatan, Pelanjutan Tempoh Percubaan dan Pemberian Taraf Berpencen akan dimaklumkan tidak lewat daripada enam (6) minggu dari tarikh perakuan lengkap diterima.

  • Pengesahan Dalam Perkhidmatan;
    • Panduan/Rujukan

      Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A) 176/2005]; dan

      Surat Pekeliling Perkhidmatan SPP Bil. 1 Tahun 2006: Kaedah Penetapan Tarikh Pengesahan Dalam Perkhidmatan.

      Syarat Pengesahan Dalam Perkhidmatan

      Setiap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Anggota Kumpulan Sokongan (AKS) dalam tempoh percubaan boleh disahkan dalam perkhidmatan apabila telah memenuhi syarat dalam skim perkhidmatan masing-masing, iaitu :

      Syarat Bagi Skim PPP :

      Berkhidmat dalam tempoh percubaan antara 1 hingga 3 tahun;

      Hadir dengan jayanya Kursus Induksi;

      Diperaku oleh Ketua Jabatan; dan

      Lulus tapisan keselamatan (bagi pegawai lantikan tetap pada atau selepas 1.1.2008).

      Syarat Bagi Skim AKS :

      Berkhidmat dalam tempoh percubaan antara 1 hingga 3 tahun;

      Hadir dengan jayanya Kursus Induksi;

      Lulus Peperiksaan Perkhidmatan;

      Diperaku oleh Ketua Jabatan; dan

      Lulus tapisan keselamatan (bagi pegawai lantikan tetap pada atau selepas 1.1.2008).

      Tanggung Jawab Ketua Jabatan

      Ketua Jabatan hendaklah memperakukan PDP pegawai dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh pegawai itu didapati layak bagi pengesahan dengan mengemukakan dokumen berikut:

      Salinan Buku Rekod Perkhidmatan yang kemaskini dan teratur dan mencatatkan jenis-jenis cuti selain cuti rehat tahunan yang telah diambil semasa tempoh percubaan pegawai;

      Salinan Sijil Kursus Induksi;

      Salinan Keputusan Peperiksaan Perkhidmatan (bagi AKS); dan

      Jadual Ketiga atau Jadual Ketiga(i), P.U.(A) 176/2005 dengan menyatakan tarikh PDP yang diperakukan.

      Tanggung Jawab Pegawai

      Jika Ketua Jabatan gagal mengemukakan perakuan bagi pengesahan seseorang pegawai yang telah layak bagi pengesahan, Pegawai boleh memohon kepada Suruhanjaya untuk disahkan dan suatu salinan permohonan itu hendaklah dihantar kepada Ketua Jabatan.

      Suruhanjaya boleh menjalankan satu siasatan dan mengesahkan pegawai itu sekiranya mendapati pegawai itu layak bagi pengesahan.
  • Pelanjutan Tempoh Percubaan;
    • Panduan/Rujukan

      Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A) 176/2005]; dan

      Surat Pekeliling Perkhidmatan SPP Bil. 2 Tahun 2006: Kaedah Pelanjutan Tempoh Percubaan.

      Tanggung Jawab Pegawai

      Pegawai yang gagal disahkan dalam perkhidmatan selepas tamat tempoh percubaan hendaklah mengemukakan permohonan pelanjutan tempoh percubaan kepada Suruhanjaya melalui Ketua Jabatan dalam tempoh tiga (3) bulan selepas tamat tempoh percubaannya.

      Tanggung Jawab Ketua Jabatan

      Ketua Jabatan hendaklah segera mengemukakan perakuan pelanjutan tempoh percubaan dalam borang yang dinyatakan dalam Jadual Keempat, P.U.(A) 176/2005 dengan menyatakan butir-butir berikut:

      Sebab pegawai itu tidak disahkan;

      Syor Ketua Jabatan pelanjutan tempoh percubaan patut diberi atau tidak, dan jika patut diberi, sama ada dengan atau tanpa denda;

      Salinan Kenyataan Perkhidmatan pegawai yang dikemas kini; dan

      Senarai peperiksaan, jika ada, yang telah diduduki oleh pegawai itu beserta tarikh dan keputusan peperiksaan itu.

      Kaedah Pelanjutan Tempoh Percubaan

      Pelanjutan Tempoh Percubaan boleh diluluskan dalam dua (2) keadaan iaitu:

      Pelanjutan Tanpa Denda - membolehkan pegawai menerima pergerakan gaji tahunan; dan

      Pelanjutan Berdenda - tiada pergerakan gaji boleh dibayar dan tarikh Pergerakan Gaji Tahunan berubah apabila disahkan dalam jawatan.

  • Pemberian Taraf Berpencen;
    • Panduan/Rujukan

      Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A) 176/2005]; dan

      Surat Pekeliling SPP Bil. 4 Tahun 2008: Kaedah Pelaksanaan Pemberian Taraf Berpencen Anggota Perkhidmatan Pendidikan.

      Syarat Kelayakan Pemberian Taraf Berpencen

      Pegawai sedang berkhidmat dan tidak memilih skim KWSP;

      Pegawai telah disahkan dalam perkhidmatan; dan

      Pegawai telah berkhidmat selama tidak kurang daripada tiga (3) tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira bermula dari tarikh lantikan tetap pegawai.

      Tanggung Jawab Ketua Jabatan

      Ketua Jabatan hendaklah memastikan perakuan pegawai yang dikemukakan kepada Suruhanjaya memenuhi syarat Pemberian Taraf Berpencen dan disertakan dengan dokumen berikut:

      Jadual Kelima, P.U.(A) 176/2005;

      Jadual Keenam, P.U.(A) 176/2005; dan

      Salinan Kenyataan Perkhidmatan yang dikemaskini.

  • Pertukaran Pelantikan;
    • Dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 2002 dalam dua (2) keadaan iaitu:

      1.Perubahan Organisasi; dan

      2.Permohonan Sendiri.

  • Penamatan Perkhidmatan
    • Peraturan 46 dan 47 P.U.(A) 176/2005

      1.Pegawai yang gagal disahkan dalam perkhidmatan, boleh ditamatkan perkhidmatannya atas sebab berikut:

        menyembunyikan apa-apa maklumat tentang kesihatannya dalam borang pemeriksaan perubatan; atau

          membuat akuan palsu dalam akuan berkanun; atau

          memalsukan dokumen berhubung pelantikannya; atau

          gagal menandatangani Surat Aku Janji; atau

          gagal disahkan kerana tidak diperakukan Ketua Jabatan; atau

          gagal tapisan keselamatan.

      2.Penamatan di bawah Peraturan 46 dan 47 P.U.(A)176/2005 BUKAN merupakan tindakan tatatertib.

  • Penetapan Gaji Permulaan Lebih Tinggi kepada Bekas Anggota Tentera dan Bekas Anggota Polis yang Dilantik Semula Ke Dalam Perkhidmatan.
    • Dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 1979.
  • Pelantikan Sementara
    • Dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005.
  • Pelantikan Kontrak
    • Dilaksanakan mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2008.
  • Peminjaman, Pertukaran Sementara dan Pertukaran Tetap
    • Dilaksanakan mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 12 Tahun 2008.