SOALAN-SOALAN LAZIM
  • PERMOHONAN JAWATAN
  • S1. Apakah jawatan yang boleh saya pohon di SPP?
    • 1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Lepasan Diploma Gred DGA29 dan PPP Siswazah Gred DG41 untuk berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM);

      2. Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) Gred DH29 dan PPPT Gred DH41 untuk berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM);

      3. Anggota Kumpulan Sokongan (AKS) untuk berkhidmat di KPM dan KPTM iaitu jawatan berikut:

    • A. Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Gred N17;
    • B. Penyelia Asrama Gred N17;
    • C. Pembantu Pengurusan Murid Gred N17;
    • D. Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N17;
    • E. Pembantu Makmal Gred C17;
    • F. Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17;
    • G. Tukang K2 Gred R11; dan
    • H . Tukang K3 Gred R9.
  • S2. Bilakah dan bagaimanakah saya boleh memohon jawatan  tersebut?
    • Semua permohonan jawatan di bawah SPP boleh dilakukan sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, kaedah permohonan adalah berbeza seperti berikut:

      1. PPPLD dan PPPS serta semua jawatan AKS melalui portal SPP di http://www.spp.gov.my; manakala

      2.PPPT melalui laman web jobsmalaysia di http://www.jobsmalaysia.gov.my.

  • S3. Kenapa permohonan saya ditolak?
  • S4. Saya memiliki kelayakan ijazah secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Bagaimanakah caranya saya mengemukakan permohonan PPPS?
    • Permohonan jawatan PPPS yang memiliki ijazah secara PJJ boleh dibuat secara e-permohonan.

  • S5. Saya pernah meletak jawatan dalam perkhidmatan awam tetapi ingin berkhidmat semula. Bagaimanakan caranya saya mengemukakan permohonan?
    • Sekiranya tuan pernah berkhidmat secara tetap di bawah lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan atau Suruhanjaya Pasukan Polis atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, maka tuan puan perlu memohon kebenaran khas daripada Suruhanjaya (di mana jawatan dipohon) terlebih dahulu sebelum boleh dilantik semula secara tetap.

      Walau bagaimanapun, sekiranya perkhidmatan tuan sebelum ini bukan lantikan salah satu daripada empat (4) suruhanjaya tersebut, maka tuan boleh memohon semula pelantikan tanpa perlu kebenaran khas.

  • TEMU DUGA
  • S1. Bilakah saya akan dipanggil temu duga?
    • Temu duga pelantikan dilaksanakan sepanjang tahun dan tuan akan dipanggil menghadiri temu duga berdasarkan prinsip ‘yang dahulu didahulukan’. Untuk itu, tuan dinasihatkan untuk sentiasa menyemak status permohonan tuan melalui Portal SPP. Tuan juga dinasihatkan untuk menghubungi SPP sekiranya berlaku pertukaran tempat bertugas untuk tujuan pengemaskinian.

  • S2. Saya telah dipanggil temu duga di alamat tempat bertugas saya yang lama. Bolehkan saya menukar tempat temu duga berhampiran tempat saya bertugas yang baru?
    • 1. Pertukaran tempat temu duga secara ‘walk in interview’ dibenarkan bagi calon jawatan PPPLD dan PPPS iaitu sekiranya tuan telah bertukar tempat bertugas di negeri lain sewaktu dipanggil menghadiri temu duga dan dalam masa yang sama, terdapat urusan temu duga dilaksanakan di negeri  tuan bertugas. Tuan bagaimanapun dikehendaki memaklumkan kepada Suruhanjaya secara bertulis sebaik sahaja surat panggilan diterima. Tuan disyaratkan membawa dokumen berikut semasa hadir temu duga:

      1. a. surat panggilan temu duga;
      2. b. semua dokumen yang disyaratkan dalam surat panggilan; dan
      3. c. salinan surat pertukaran.

      2. Bagi jawatan PPPT dan AKS, pertukaran juga dibenarkan sekiranya terdapat urusan temu duga di negeri tuan bertukar dengan syarat tuan memaklumkan kepada Suruhanjaya lebih awal dan tertakluk kepada bidang bagi jawatan PPPT (sekiranya tiada temu duga melibatkan bidang yang dimiliki di negeri bertukar, maka pertukaran tempat temu duga tidak dapat dilakukan)

       
  • S3. Sekiranya saya hilang salah satu sijil asal, apakah yang perlu saya lakukan?
    • Tuan dikehendaki mendapatkan semula salinan asal sijil tersebut ataupun surat pengesahan dari pihak yang mengeluarkan. Sebagai peringatan, calon yang gagal mengemukakan salah satu daripada sijil asal yang telah ditetapkan dalam surat panggilan temu duga tidak akan ditemu duga.

  • S4. Apakah salinan fotostat sijil yang telah disahkan boleh diterima pakai menggantikan sijil asal yang hilang untuk urusan temu duga?
    • Tidak boleh, sebaliknya tuan dikehendaki mendapatkan semula salinan asal sijil tersebut ataupun surat pengesahan dari pihak yang mengeluarkan.

  • S5. Apakah persedian yang perlu saya buat untuk menghadiri temu duga?
    • Antara persediaan yang perlu dilakukan:

      (1)       Pastikan semua dokumen  asal yang diminta di dalam surat panggilan dipenuhi. Hanya sijil asal yang akan diterima semasa temu duga. Calon yang gagal mengemukakan sijil asal tidak akan ditemu duga.

      (2)       Pastikan pakaian mematuhi kod etika pakaian penjawat awam

      (3)       Lengkapkan diri dengan pengetahuan am dan ikhtisas.

       
  • PELANTIKAN
  • S1. Bilakah saya akan dilantik setelah ditemu duga?
    • 1. Bagi jawatan PPPLD dan PPPS, surat tawaran akan dikemukakan setelah perakuan pelantikan tuan diluluskan oleh Suruhanjaya; dan

      2. Bagi jawatan PPPT dan AKS, pelantikan akan dibuat mengikut prestasi temu duga, calon yang memberikan prestasi terbaik dalam temu duga akan diberi keutamaan pelantikan.

  • S2. Mengapa calon bagi jawatan PPPLD dan PPPS terus diberi surat tawaran sebaik sahaja perakuan pelantikan diluluskan oleh Suruhanjaya?
    • Calon kedua-dua jawatan tersebut boleh terus ditawarkan pelantikan kerana kedudukan mereka sebagai calon yang telah diberi latihan di bawah tajaan KPM.

  • S3. Sekiranya saya gagal dalam temu duga, apakah yang perlu saya lakukan?
    • 1. Bagi jawatan PPPLD dan PPPS, tuan akan diberi peluang untuk menghadiri temu duga kali kedua. Sekiranya tuan gagal dalam temu duga kali kedua, maka peluang untuk temu duga kali ketiga hanya akan diberi sekiranya Suruhanjaya berpuas hati dengan laporan penilaian oleh ketua jabatan tuan. Tuan tidak akan diberi peluang temu duga kali kempat.

      2. Bagi jawatan PPPT dan AKS, tuan dikehendaki mengemukakan semula permohonan sekiranya gagal temu duga.

  • S4. Bagaimanakah penetapan tarikh pelantikan saya dibuat?
    • 1. Bagi jawatan PPPLD dan PPPS yang berjaya dalam temu duga kali pertama, tarikh pelantikan akan dibuat berdasarkan satu haribulan dalam bulan berikutan daripada tarikh yang tercatat dalam ijazah/sijil perguruan atau tarikh lapor diri bertugas mengikut tarikh mana yang terkemudian; dan

      2. Bagi jawatan PPPT dan AKS adalah berdasarkan tarikh lapor diri bertugas.

  • S5. Saya memiliki kelayakan ijazah secara PJJ dan telah ditemu duga, bila saya akan dilantik?
    • Pelantikan ditetapkan pada tarikh lapor diri bertugas sebagai PPPS.

  • S6. Adakah saya akan ditempatkan semula disekolah/kawasan/daerah/negeri saya bertugas?
    • Untuk makluman tuan, penempatan bertugas adalah terletak di bawah bidang kuasa KPM.

  • S7. Setelah saya menerima surat tawaran, apakah yang saya perlu buat??
    • Tuan perlu mengisi semua dokumen dalam pakej Setuju Terima Tawaran Pelantikan yang dilampirkan bersama dengan surat tawaran dan mengembalikan semula ke SPP secara pos berdaftar dalam tempoh:

        1. 1. 60 hari bagi Semenanjung dan 90 hari bagi Sabah, Sarawak dan Labuan daripada tarikh surat tawaran bagi jawatan PPPLD dan PPPS; dan

       

        1. 2. 60 hari bagi Semenanjung dan 90 hari bagi Sabah, Sarawak dan Labuan daripada tarikh lapor diri bagi jawatan PPPTdan AKS.

      Sekiranya tuan gagal untuk menyempurnakan semua dokumen tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka tawaran yang diberikan kepada tuan akan terbatal dan tuan perlu memohon semula untuk temu duga.

  • S8. Bagaimanakan sekiranya saya mengandung dan tidak boleh melakukan x-ray?
    • Sekiranya puan mengandung, pemeriksaan x-ray boleh dilakukan setelah kandungan dilahirkan. Sehubungan dengan itu, puan diminta memastikan pegawai perubatan membuat pengesahan bahawa puan mengandung di dalam laporan perubatan. Laporan x-ray tersebut perlu dikemukakan selepas anda selamat bersalin.
  • S9. Bolehkan saya menjalani pemeriksaan perubatan di klinik/hospital swasta?
    • Boleh.
  • S10. Bagaimanakan saya melaksanakan tapisan keselamatan?
  • S11. Perlukan saya menghantar Surat Aku janji kepada Suruhanjaya?
    • Pegawai yang baru ditawarkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan perlu menjalani Aku Janji semasa melapor diri bertugas. Aku Janji hendaklah dibuat dalam 2 salinan dihadapan ketua jabatan, satu salinan hendaklah dikemukakan ke SPP bersama dengan dokumen setuju terima tawaran yang lain manakala satu salinan hendaklah disimpan oleh calon. Aku Janji hendaklah direkod dalam kenyataan perkhidmatan.

  • S12. Bagaimanakan penetapan gaji permulaan saya dibuat?
    • Penetapan gaji permulaan dibuat:

      1. mengikut kelayakan akademik yang dimiliki oleh tuan sebagaimana ditetapkan dalam skim perkhidmatan;

      2. sekiranya tuan sedang berkhidmat tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan tersebut, maka gaji permulaan tuan akan ditetapkan di mata gaji  tertinggi yang berhampiran dalam tangga gaji jawatan barunya sekiranya gaji jawatan lama adalah sama atau lebih daripada  gaji  permulaan  dalam jawatan baru mengikut  Peraturan 23 dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005;

      3. sekiranya perbezaan gaji kurang dari satu pergerakan gaji biasa di gred jawatan sebelumnya, maka gaji tuan akan ditetapkan  pada  satu  lagi matagaji  lebih   tinggi berhampiran di peringkat gaji P1 dalam jadual  gaji matriks jawatan baru itu mengikut Para 61 dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002.

  • S13. Saya dapati gaji yang ditawarkan kepada saya setelah dilantik lebih rendah dari elaun bulanan yang saya perolehi sewaktu saya dalam jawatan Guru Sandaran Terlatih.
    • Untuk makluman tuan, elaun bulanan tuan tidak diambil pertimbangan untuk tujuan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi.  Penetapan gaji yang lebih tinggi dengan mengambil kira gaji akhir di jawatan lama hanya diperuntukkan kepada pegawai dalam jawatan tetap yang telah disahkan dalam perkhidmatan sahaja.
  • S14.Saya dapati gaji yang ditawarkan kepada saya tidak berdasarkan kelayakan sijil/ijazah yang saya miliki. Apa yang perlu saya lakukan.
    • Sila kemukakan rayuan anda kepada Suruhanjaya bersama nilai taraf kelayakan sijil/ ijazah tersebut yang diperolehi dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
  • S15. Saya sebelum dilantik ke jawatan PPPLD/PPPS/PPPT/AKS, saya telah berkhidmat tetap dengan kerajaan. Saya dapati bahawa gaji yang ditawarkan kepada saya lebih rendah daripada jawatan saya sebelum itu. Apakah yang perlu saya lakukan.
    • Sila kemukakan rayuan kepada Suruhanjaya dan sertakan bersama surat rayuan tersebut salinan kenyataan perkhidmatan yang telah dikemaskini.

  • S16. Saya memiliki kelayakan sarjana (master). Sekiranya saya dilantik sebagai PPPS, adakah saya akan ditawarkan gaji yang lebih tinggi.
    • Kelayakan sarjana yang dimiliki tuan:

      (1)       tidak diambil kira untuk tujuan penetapan gaji permulaan sebaga PPPS sebaliknya tuan akan ditawarkan gaji permulaan berdasarkan kelayakan ijazah sarjana muda yang anda miliki memandangkan kelayakan sarjana tersebut tidak diperuntukkan oleh skim perkhidmatan PPPS untuk gaji permulaan lebih tinggi;

      (2)       diambil kira untuk tujuan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi bagi jawatan PPPT sebagaimana diperuntukkan dalam skim perkhidmatan PPPT tersebut.

  • S17. Saya telah mengikuti kursus induksi kumpulan 1 pada tahun 1992 iaitu sebelum disahkan dalam Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah Gred DG6. Perlukah saya menghadiri semula Kursus Induksi apabila saya dilantik sebagai PPPS Gred DG41?
    • Berikut adalah kategori calon yang boleh diberi pengecualian daripada menghadiri kursus induksi Sistem Saraan Baru/Sistem Saraan Malaysia apabila dilantik ke jawatan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG3/DG41.

      Berdasarkan Surat Jabatan Perkhidmatan Awam Bil. JPA 241/46 Jld. V (69) bertarikh 1 April 1993. Calon-calon yang boleh dikecualikan daripada menghadiri Kursus Induksi apabila dilantik ke jawatan tetap sebagai PPPS Gred DG3/41 adalah seperti berikut;

      1. Guru PPPBS/LD yang dilantik dalam kategori B (skim JKK ’76) atau setaraf seperti B8,B9,C1, B10, T1, D3 yang telah mengambil dan lulus Peperiksaan Am Kerajaan (PAK) sebelum disahkan dalam jawatan sebelum ini.

      2. Guru PPPBS/LD yang telah meningkat daripada kategori C8 (SPM) kepada B10 (STPM) mengambil dan lulus PAK sebelum tahun 1994; dan

      Pengecualian (berdasarkan keputusan mesyuarat pada 16.8.1999 di antara JPA, KPM dan SPP,
                 
      (a) PPPBS C8 yang meningkat ke B10 tetapi tiada PAK yang telah dilantik ke DG3 sebelum 16.8.1999; dan

      (b) PPPBS C8 yang telah lulus PAK walaupun tidak disyaratkan tetapi telah dilantik ke DG3 sebelum 16.8.1999.

      3. Guru PPPBS/LD yang  telah dilantik buat kali pertama selepas tahun 1992 dan telah menduduki Kursus Induksi Kumpulan I sebelum disahkan dalam jawatan.

      4. Guru yang telah bertukar daripada skim perkhidmatan lain yang menguntukkan penyandangnya untuk lulus Kursus Induksi Kumpulan I atau lulus PAK sebelum disahkan dalam jawatan dan kemudian dilantik ke PPPS.

      5. Guru yang telah meletak jawatan dan telah lulus dengan jayanya Kursus Induksi SSB apabila dilantik dalam jawatan yang memerlukan lulus kursus dalam kumpulan yang sama.

    • Walau bagaimanapun, pihak JPA melalui surat JPA 241/20/14 Klt. 83(   ) bertarikh 23 Disember 2003 telah memutuskan bahawa Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah C8 yang tidak meningkat ke skel gaji B10 dan telah lulus Peperiksaan Am Kerajaan yang kemudiaannya dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG3 layak untuk dikecualikan dari mengikuti dengan jayanya kursus induksi bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan sebagai PPPS Gred DG3.

  • S18. Saya telah dilantik ke jawatan pertama saya sebagai PPPBS kategori T, iaitu dengan kelonggaran syarat dari memiliki sijil ikhtisas perguruan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam.  Setelah memiliki ijazah, bolehkan saya dilantik ke jawatan PPPS dengan menggunakan kelonggaran syarat semasa pelantikan pertama dahulu.
    • Tuan tidak boleh dilantik ke jawatan PPPS Gred DG41 dengan menggunakan kelonggaran syarat pelantikan ke PPPBS tersebut. Tuan dinasihatkan memohon kelonggaran syarat kali kedua dari pihak JPA melalui KPM sebelum mengemukakan borang permohonan ke Suruhanjaya. Sila kemukakan borang permohonan dengan menyertakan salinan surat kelulusan kelonggaran syarat bagi pelantikan kali kedua tersebut.
  • S19. Bilakah saya boleh disahkan dalam perkhidmatan.
    • Mengikut Sistem Saraan Malaysia, anda boleh disahkan ke dalam perkhidmatan setelah tuan menjalani tempoh percubaan selama satu hingga tiga tahun dan memenuhi syarat-syarat pengesahan perkhidmatan seperti yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran (termasuk lulus peperiksaan perkhidmatan sebagaimana ditetapkan oleh ketua jabatan sekiranya ada).
  • LAIN-LAIN
  • S1. Bolehkan saya memohon kepada Suruhanjaya untuk bertukar tempat bertugas?
    • Permohonan pertukaran tempat bertugas adalah di bawah bidang kuasa KPM atau KPTM mengikut yang mana berkaitan.

  • S2. Bagaimanakah caranya untuk saya memohon mengikuti kursus perguruan?
    • Permohonan untuk mengikuti kursus perguruan adalah di bawah bidang kuasa KPM. Tuan boleh merujuk ke KPM untuk maklumat lanjut.